TAMPIN: Tiga beranak mengaku bersalah mencederakan seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dan dijatuhkan hukuman penjara antara 12 hingga 36 bulan.
Hukuman diputuskan Mahkamah Majistret Gemas terhadap tertuduh, Siti Fatimah Abdullah, 56, dan dua anaknya, Muhammad Taufiq John Abdullah, 24, serta Muhammaddeni Iskandar, yang berusia 26.
Muhammaddeni Iskandar yang juga teman lelaki mangsa dihukum penjara 36 bulan dan dua sebatan kerana sengaja menyebabkan kecederaan ke atas wanita berusia 21 tahun itu menggunakan besi playar, bara puntung rokok dan petrol.
Manakala, Siti Fatimah kena penjara 12 bulan dan denda RM5,000 atas tuduhan menggunakan spanar pembuka tayar untuk mencederakan wanita OKU itu.
Sementara, Muhammad Taufiq yang didakwa menggunakan batang penyapu untuk mencederakan mangsa dihukum penjara 24 bulan dan denda RM4,000.
Tiga beranak itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan antara Jun hingga 23 Oktober lalu di sebuah rumah di Felda Bukit Rokan.
Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan.
Mengikut fakta kes, mangsa tinggal di rumah berkenaan selama lima bulan kerana menghadapi masalah keluarga.
Sepanjang tempoh itu, dia mendakwa didera teman lelakinya dan ibu serta adik lelaki.
Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.