KOTA BHARU: Tiga orang banduan masing-masing dipenjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana meliwat rakan sepenjara mereka di sebuah bilik di Pusat Pemulihan Akhlak Machang, Februari lalu.
Tertuduh, Muhammad Tarmizi Mohd Sandy 25 tahun serta Wan Zulharie Wan Mustapha dan Mohamad Ariff Emeran masing-masing 32 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan yang dibuat secara berasingan, ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan mangsa yang sama.
Kesalahan itu dilakukan kesemua tertuduh di sebuah bilik di Blok Amanah Pusat Pemulihan Akhlak Machang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal selain mampu memberi pengajaran dikenakan memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.
“Malah, kesalahan dilakukan tertuduh ketika sedang menjalani hukuman bagi kesalahan lain dan sepatutnya tertuduh menunjukkan kelakuan yang baik,” katanya.
Ketiga-tiga tertuduh menerusi rayuan mereka memohon hukuman minimum dikenakan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga tertuduh masing-masing lima tahun penjara dari tarikh di tuduh hari ini dan satu sebatan memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.
Kesemua tertuduh sebelum ini menjalani hukuman berkaitan kes dadah.