Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Tiga anggota PGA didakwa curi RM85,000 ketika Op ‘Mini Dhaka’

KUALA LUMPUR : Tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencuri wang berjumlah RM85,000 daripada sebuah premis perniagaan ketika operasi menggempur warga asing digelar ‘Mini Dhaka’ di Jalan Silang, Khamis lalu.

Pertuduhan ke atas  Lans Koperal iaitu Mohamad Adib Mohd Zafri, 35, dan Mohamad Amirul Aiman Mamat, 29, serta Koperal Muhamad Hafiz Irsyad Mohd Nawi, 30, dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Mereka didakwa dengan niat bersama mencuri wang RM85,000 milik NGWE Gabar Sdn Bhd di No 29, Tingkat 1, Jalan Lebuh Pudu, Jalan Silang, dekat sini,  jam 2.27 petang, pada 21 Disember lalu.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham tidak menawarkan ikat jamin berikutan kesalahan itu dilakukan penjawat awam semasa menjalankan amanah dan tugas sebagai anggota polis.

“Perkara ini mendatangkan kegusaran kepada masyarakat awam berkaitan integriti dan tanggungjawab anggota keselamatan semasa menjalankan tugas.

“Sekiranya mahkamah masih ingin memberikan jaminan, pihak pendakwaan menegaskan supaya jaminan ditawarkan tidak kurang RM30,000 seorang dengan dua penjamin warga tempatan, serta syarat tambahan iaitu pasport ditahan sehingga kes selesai dan perlu melaporkan diri ke balai polis terdekat setiap bulan,” katanya.

Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Mohamad Adib dan Muhammad Hafiz Irsyad merayu supaya anak guamnya diberikan jaminan minimum berikutan masing-masing menanggung keluarga serta pendapatan RM2,100 sebulan.

Sementara itu, peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie yang mewakili Mohamad Amirul Aiman yang masih bujang turut memohon perkara sama, dan menghujahkan prinsip jaminan hanya memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan anak guamnya adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Selepas mendengar hujahan semua pihak, Aina Azahra kemudian membenarkan kesemua tertuduh masing-masing dijamin sebanyak RM17,000 dengan dua penjamin warga tempatan.

Mereka juga diperintahkan menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis terdekat setiap awal bulan.

Sebutan kes ditetapkan pada 6 Februari depan.

Buletin TV3 sebelum ini melaporkan, tiga anggota polis ditahan berhubung kes kecurian wang tunai RM85,000 di sebuah premis di Lebuh Pudu, yang diserbu dalam operasi bersepadu membanteras warga asing, pada 21 Disember lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini