KUALA LUMPUR: Status quo agama Islam tiga anak kepada ibu tunggal, Loh Siew Hong yang ditukar secara sebelah pihak oleh bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi hari ini.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, tiada bukti dikemuka di mahkamah bahawa agama ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu.
Katanya, ibu tunggal itu sendiri tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, walaupun ketika berada dalam jagaannya.
“Walaupun ini adalah isu lain, ia agak berkaitan dengan kes di hadapan saya. Tiada bukti ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah berhenti menganut agama Islam, ketika mereka berada di bawah jagaan pemohon.
“Oleh itu, kebajikan kanak-kanak, dalam pengertian kes Indira Ghandi, menetapkan status quo harus kekal,” katanya.
Hakim itu berkata demikian selepas menolak permohonan semakan kehakiman Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya oleh bekas suaminya yang memeluk Islam dan sekaligus memohon membatalkan pengislaman berkenaan.
Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.
Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan memeluk agama Islam semua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.