BUKIT MERTAJAM: Pemandu lori yang mengakibatkan seorang kerani maut selepas kontena yang dibawanya terbalik dalam nahas enam kenderaan pada 13 November lalu tidak dibenarkan diikat jamin ketika dia dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh Marhizan Johari, 51, yang mengenakan pakaian T berwarna biru mengaku tidak bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa memandu treler jenis Volvo dengan cara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu wanita Lee Zi Rou berusia 21 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Kebun Sireh, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi pada 13 November lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari lima tahun serta maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
Dalam pada itu, tertuduh juga bakal berdepan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzly Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kes itu telah mendapat liputan meluas di media sosial, termasuk tertuduh juga dilihat tidak menunjukkan rasa bersalah atas perbuatannya hingga sanggup menunjukkan isyarat ‘peace’ ketika wajahnya dirakamkan pihak media ketika membuat liputan proses tahanan reman.
Majistret Mohd Harith kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 24 Januari tahun depan bagi laporan bedah siasat, perubatan dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Dalam kejadian 13 November lalu, seorang wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler dalam kemalangan enam kenderaan di Jalan Bukit Tengah, di sini.
Mangsa yang maut, Lee Zi Rou, 21, memandu kereta Perodua Bezza manakala Tan Chou Theng, 25, yang cedera parah adalah pemandu Honda Jazz.
Kemalangan itu dipercayai berlaku ketika lima kereta dan sebuah lori dari Jalan Kebun Sirih berhenti di lampu isyarat simpang tiga Jalan Bukit Tengah sebelum sebuah treler kontena dari Jalan Bukit Tengah tiba-tiba membelok ke kiri.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.