Oleh: Zahir Senapiah
PONTIAN: 88 pendatang tanpa izin (PATI) dari enam negara dihadapkan ke Mahkamah Majistret dekat sini, atas pertuduhan memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah dan tinggal lebih masa.
Kesemua PATI terbabit mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Fatimah Zahari.
Semua pendatang terbabit terdiri daripada 73 lelaki dan 15 wanita dari Indonesia, Myanmar, Sri Lanka, Pakistan, Nepal dan Bangladesh berumur 19 hingga 56 tahun ditahan dalam beberapa siri operasi oleh Jabatan Imigresen Johor bermula 12 Disember hingga 19 Januari lalu.
57 daripada mereka termasuk 10 wanita didakwa tidak mempunyai dokumen yang sah ketika masuk dan berada di negara ini.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 5 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta sebatan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 3 bulan ke atas semua tertuduh berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap.
Baki 32 PATI lagi termasuk 5 wanita didakwa tinggal melebihi tempoh masa yang dibenarkan.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 15(4), akta sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 5 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara antara dua hari hingga enam bulan ke atas mereka.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Johor, Sarvena Giman manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.