comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tiada diskriminasi terhadap Muhyiddin – Pendakwa Raya

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan menegaskan pertuduhan rasuah RM232.5 juta terhadap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersifat diskriminasi. Ini kerana semua keperluan undang-undang mengikut Seksyen 152, 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah sudah dipatuhi dan selaras Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel berkaitan: Muhyiddin tarik balik permohonan pindahkan kes ke Mahkamah Tinggi

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata alasan lain ialah bekas Perdana Menteri berkenaan diberikan prosedur sama dan berhak untuk mengemuka sebarang permohonan serta pembelaan sama seperti tertuduh kes lain tanpa diskriminasi.

“Pemohon (Muhyiddin) berhak untuk menyediakan segala pembelaannya dalam kes ini. Cara atau bagaimana pemohon menggunakan kedudukannya boleh dibuktikan melalui keterangan sewaktu perbicaraan penuh kelak dan tidak perlu dinyatakan dalam pertuduhan.

Perkara utama perlu dipertimbang ialah elemen atau inti pati di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimasukkan dalam pertuduhan yang menjadi perkara dalam permohonan sudah dipenuhi dan dipatuhi, bukan cara di mana sesuatu elemen dicapai.

Sesuatu yang pramatang untuk menghujahkan mengenai cara bagaimana suatu kesalahan itu perlu dijelaskan, sedangkan keterangan daripada saksi masih belum didengar,” katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin di sini hari ini.

Media melaporkan Muhyiddin memfailkan notis usul untuk membatalkan pertuduhan itu pada 18 April lalu, dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden. Pengerusi PN itu memohon supaya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu dan memohon prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan.

Melalui afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat pertuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah. Ini kerana tidak ada mana-mana satu pun daripada pertuduhan terbabit mendedahkan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

Muhyiddin, 75, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi BERSATU. Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Wan Shaharuddin berkata Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan menerusi perbicaraan jenayah menjamin hak tertuduh setiap daripada mereka boleh mendapatkan semua hak substantif dan prosedur termasuk mengemuka pembelaan sama seperti tertuduh kes lain.

“Kami dengan rendah diri memohon supaya permohonan seperti terkandung dalam notis usul ditolak oleh mahkamah,” katanya.

Prosiding bersambung petang ini.

Loading...
Terkini