comscore
Tumpuan :
Mahkamah

‘Tiada air mata yang mengalir..Perasaan itu hanya diluah di belakang pintu’ – Diana Danielle

Foto : NSTP

SHAH ALAM : Pelakon Diana Danielle mendoakan yang terbaik buat bekas suaminya, Farid Kamil selepas mereka sah bercerai secara dalam talian menerusi aplikasi Google Meet di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari di sini, hari ini.

Lafaz cerai dilakukan Farid menerusi aplikasi Google Meet di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Diana mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, enggan berkongsi perasaan ketika Farid melafazkan talak itu.

“Untuk perasaan ketika terima lafaz cerai, itu rahsia. Saya tak mahu cakap bagaimana keadaannya sebab terlalu peribadi.

“Keadaan ini sukar dan bukan perkara mudah untuk saya dan Farid hadapi,” ungkapnya.

Diana juga tidak menolak kemungkinan hubungan baik dengan Farid dikekalkan demi kelangsungan hidup dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora kini berusia lapan tahun.

“Berkawan, itu antara perkara yang kami akan selesaikan, selain bagaimana hubungan selepas ini dan hadapi fasa baharu.

“Saya juga nak semuanya yang baik-baik dan tidak mahu pening kepala” luah pelakon filem Magika itu.

Selepas lima bulan naik turun mahkamah, kemelut rumah tangga pasangan itu menemui titik noktah selepas Farid melafazkan talak satu kepada Diana menerusi kaedah dalam talian susulan Farid tidak dapat hadir berikutan masalah kesihatan.

Farid hanya diwakili oleh peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan.

Terdahulu, pergolakan rumah tangga pasangan terbabit mula tercetus selepas Diana memfailkan cerai pada 10 Mac lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Dalam permohonan cerai, Diana mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan yang berpanjangan), selain tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad dan Nur Aurora.

Artikel berkaitan : Farid, Diana sah bercerai talak satu

Loading...
Terkini