SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan bekas pekerja teknologi maklumat Yew Wei Liang membela diri atas tuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Syakir di Lebuhraya Utara Selatan, empat tahun lalu.
Hakim Julia Ibrahim membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap Wei Liang 45 tahun di akhir kes pendakwaan.
Ketika penghakimannya, Julia berkata, mahkamah mendapati tertuduh belum melunaskan beban pembuktian, kerana keterangan menunjukkan provokasi bermula apabila dia menyerang mangsa.
“Mengenai isu mempertahankan diri, tertuduh bertindak melebihi haknya apabila berterusan melanggar mangsa walaupun ancaman telah dipatahkan dan mangsa sedang melarikan diri.
“Setelah meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan eksibit yang dikemukakan dengan mengaplikasikan penilaian maksimum atas keseluruhan keterangan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen pertuduhan secara prima facie ke atas tertuduh,” kata hakim.
Oleh itu beliau berkata, tertuduh diperintah membela diri terhadap pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sejurus keputusan diketahui, Wei Liang yang hadir dengan memakai baju T berwarna putih kelihatan tenang dengan jurubahasa memberi penerangan dalam bahasa Mandarin.
Mahkamah kemudiannya memberi tiga pilihan kepada tertuduh iaitu pertama, memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi kemudian disoal balas oleh pihak pendakwaan.