Tumpuan :
Mahkamah

Tertidur selepas ceroboh rumah pusaka, penganggur dipenjara 3 bulan

Choon Yau dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah menceroboh rumah di Taman Orkid, Jalan Bakri 1, Muar. – Foto NSTP

MUAR: “Saya nak penjara… nak jalankan serentak,” demikian rayuan seorang penganggur yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana menceroboh rumah sebelum tertidur dalam bilik, semalam.

Tertuduh, Yap Choon Yau, 48, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan, Choon Yau didakwa menceroboh rumah milik Tee Siok, 85, di Taman Orkid, Jalan Bakri 1, di sini yang digunakan untuk menyimpan barangan lama, pada jam 9.17 pagi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, anak pengadu berkunjung ke rumah pusaka milik mendiang ibunya sebelum mendapati tertuduh sedang tidur di atas tilam.

Pengadu kemudian menghubungi polis memaklumkan perkara itu. Polis menahan tertuduh kerana didakwa menceroboh tanpa kebenaran.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohammad Zuwairi Md Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya tertuduh juga memohon mahkamah meringankan hukuman kerana perlu menjaga anak dan isteri.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bermula dari tarikh ditahan 9 Oktober.

Loading...
Terkini