comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Terlepas tuduhan bunuh bapa selepas diputuskan sakit otak

Foto hiasan

SHAH ALAM : Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, membebaskan seorang lelaki daripada pertuduhan bunuh, selepas mahkamah memutuskan lelaki itu ‘sakit otak’ ketika memukul mangsa dengan kayu dan menetaknya dengan pisau pemotong daging, empat tahun lalu.

Menurut fakta kes, lelaki yang membunuh bapa kandung kerana menyangka si mati adalah lembaga atau kayu .

Pesuruhjaya Kehakiman Wendy Ooi Su Ghee bagaimanapun memerintahkan Jamil Tawasil, 38, diletakkan di bawah penjagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana yang diperkenankan oleh Sultan Selangor.

Dalam penghakimannya, beliau berpuas hati tertuduh melakukan perbuatan yang menjadi asas kepada pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah mendapati biarpun tertuduh membunuh bapanya, namun dalam keadaan akal tidak waras, dia tidak berupaya mengetahui keadaan dan perbuatannya itu salah atau berlawanan dengan undang-undang,” katanya.

Mahkamah berpendirian dia tidak waras kerana lelaki itu bukan sahaja tidak melarikan diri, malah tidak bertindak melupuskan pisau pemotong daging dan kayu yang digunakannya sebagai senjata pembunuhan.

Jamil didakwa membunuh Tawasil Sinag, 68, di sebuah rumah di Taman Puteri Taragon, Batu 9 Cheras, Hulu Langat dekat sini di antara jam 11 malam dan 11.15 malam, 9 November 2019.

Pada malam kejadian, ibu tertuduh, Hasmah Sinag yang juga saksi pendakwaan pertama (SP1) terjaga dari tidur selepas mendengar jeritan suaminya dan wanita itu keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu serta melihat Jamil sedang memegang kayu dan menghayunnya ke kepala bapa yang sedang duduk atas lantai.

Hasil pemeriksaan terhadap mangsa mendapati lelaki itu mengalami retakan pada tulang tangan kanan dan jari telunjuk tangan kanan putus manakala punca kematian akibat trauma tumpul di kepala.

Laporan perubatan forensik psikiatri bertarikh 31 Disember 2019 menyimpulkan bahawa Jamil menghidap skizofrenia dan berada dalam kedaan tidak waras dan tidak sedar di atas sifat dan akibat perbuatannya. Laporan itu turut menyatakan tertuduh mengalami delusi syak wasangka, delusi ganjil berkenaan dirinya, delusi pertukaran identiti selain mendengar bisikan suara halus dan halusinasi visual.

“Berdasarkan pemeriksaan mental tertuduh dan keterangan pegawai penyiasat menunjukkan lelaki itu nampak lembaga atau kayu dan bukan bapanya yang terbaring di ruang tamu,” demikian menurut penghakiman itu.

Penghakiman itu selanjutnya menyatakan, Jamil kemudian dirujuk di Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 21 November 2019 untuk pemeriksaan mental. Keterangan kes turut menyatakan tertuduh pernah menghidap skizofrenia dan mendapat rawatan di Klinik Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kuala Lumpur di antara 2011 dan 2014 serta di Hospital Kajang.

Loading...
Terkini