Tumpuan :
Mahkamah

Terbukti bukan Paiman – Hakim

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan lelaki yang dihukum penjara selama 13 tahun kerana menipu dan memalsukan dokumen bukan ahli perniagaan, Datuk Paiman Shakimon.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu setelah pendakwaan gagal membuktikan bahawa lelaki yang dihadapkan di mahkamah adalah perayu yang didakwa.

Antara alasan utama yang dikemukakan oleh pihak pembelaan ialah terdapat percanggahan pada dokumen Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenai tarikh lahir responden, selain laporan JPN yang tidak konklusif berkenaan cap jari responden yang dikatakan hampir sepadan dengan Paiman.

“Hasil proses carian sepatutnya sepadan atau tidak sepadan. Namun, apabila keputusan menunjukkan hampir sepadan, ini menimbulkan keraguan kerana proses pencarian itu tidak konklusif. Oleh itu, terdapat keraguan bahawa cap jari tersebut milik Paiman Shakimon,” kata Hakim Datuk Jamil.

Hakim juga menambah, berdasarkan kepada pasport yang dikemukakan oleh Aldrin, Kedutaan Republik Indonesia mengesahkan bahawa lelaki itu adalah Aldrin Pratama Widjaja.

Responden turut mengemukakan bukti kukuh yang dipercayai dapat membuktikan identitinya sebagai Aldrin.

“Responden mengemukakan dokumen peribadi yang sah, seperti kad pengenalan Republik Indonesia (Kartu Tanda Penduduk), lesen memandu dan kad kebenaran pemegang senjata api, yang semuanya atas nama Aldrin,” kata Hakim Datuk Jamil.

Sepanjang enam hari prosiding inkuiri yang berlangsung tahun lalu, pendakwaan mengemukakan 13 saksi, manakala pihak pembelaan menampilkan tiga saksi untuk memberi keterangan.

Pada 2 Disember 2021, Mahkamah Tinggi memerintahkan Paiman yang menghilangkan diri selama sembilan tahun untuk menjalani hukuman penjara 13 tahun atas kesalahan menipu dan memalsukan dokumen, selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Paiman sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara 13 tahun yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 2011, selepas dia didapati bersalah atas empat pertuduhan menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta.

Namun, ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi, lelaki tersebut telah menghilangkan diri.

Pada 20 Julai 2012, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya, diikuti dengan waran pemenjaraan pada 11 Oktober tahun yang sama kerana kegagalannya hadir dalam prosiding rayuannya.

Paiman akhirnya diberkas oleh pihak polis selepas didapati memasuki Malaysia menggunakan pasport Indonesia atas nama Aldrin Pratama Widjaja.

Hasil semakan biometrik cap jarinya di Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan bahawa lelaki tersebut sememangnya Paiman Shakimon.

Namun, lelaki itu sehingga kini menafikan bahawa dia adalah Paiman.

Pada tahun lalu, lelaki itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap waran tangkap serta waran pemenjaraan yang dikeluarkan terhadapnya.

Mahkamah Rayuan telah memerintahkan agar Mahkamah Tinggi menjalankan inkuiri bagi mengenal pasti identiti lelaki berkenaan.

Paiman dihukum penjara selama 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara tahun 2005 dan 2006.

Bagaimanapun, Paiman hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun setelah Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan agar hukuman itu berjalan serentak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini