KUCHING: Tempoh reman terhadap lelaki yang dipercayai suspek utama dalam kes bunuh wanita yang mayatnya ditemukan reput di Tabuan Jaya, 15 Disember lalu dilanjutkan sehingga 29 Disember ini.
Lanjutan tempoh reman selama tujuh hari itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuching, Nursyaheeqa Nazwa Radzali, selepas tempoh reman asal suspek berusia 23 tahun itu tamat, hari ini.
Terdahulu, suspek tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuching jam 9 pagi, diiringi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Suspek kemudian keluar dari mahkamah pada jam 11.10 pagi dan dibawa ke lokap IPD Kuching bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pada 18 Disember lalu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan mayat reput yang ditemui di dalam longkang di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya, di sini adalah Nurul Asikin Lan, wanita berusia 28 tahun yang dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu.
Pengesahan itu dibuat selepas polis menerima keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan keadaan mayat yang reput menyukarkan keluarga mangsa membuat pengecaman.
Terdahulu, pada 14 Disember polis menahan seorang lelaki yang dikenal pasti suspek utama kes pembunuhan itu dan dia kemudiannya menunjukkan lokasi mayat mangsa dibuang di dalam longkang berdekatan tempat pembuangan sampah di Jalan Setia Raja, Tabuan Jaya, di sini.
Dalam soal siasat yang dijalankan, suspek mengaku melakukan pembunuhan itu kerana mahu mengambil barang kemas mangsa untuk digadai.
Ia bagi menampung perbelanjaannya menyaksikan perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Kemboja pada kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Phnom Penh, 8 Disember lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.