comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Tembak mati kucing jiran, pesara tentera didenda RM20,000  

MELAKA: Balasan kerana menembak mati kucing jiran, seorang bekas tentera dijatuhi hukuman denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen 3, Ayer Keroh, hari ini.Hakim, Darmafikri Abu Adam ketika menjatuhkan hukuman itu menegaskan, seekor kucing juga dilindungi undang-undang.

“Dalam kes ini seekor kucing juga dilindungi undang-undang. Tertuduh tidak sepatutnya mengambil tindakan sendiri (menembak) dalam mengatasi masalah dan seharusnya merujuk kepada pihak berwajib,” katanya.

Aziz didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan menembak mati kucing milik jirannya. – FOTO: NSTP

Dalam penghakimannya, Darmafikri turut menimbangkan keseluruhan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan serta memerintahkan tertuduh Aziz Tambi dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh, 63, membayar denda berkenaan.

Terdahulu, Aziz menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan pindaan pada sebutan kes itu, hari ini.

Mengikut pertuduhan pindaan, dia didakwa melakukan penganiayaan iaitu menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap kucing milik Amran Majid, 45, secara menembak haiwan itu menggunakan senapang angin.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di No 430-1, Batu 7, Lorong Mat Lajis, Bukit Rambai pada 18 Jun 2022, kira-kira 2.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pengadu mendapati kucing miliknya berwarna hitam putih bernama Molly, sakit dan termuntah-muntah lendir serta luka di bahagian belakang.

Hasil pemeriksaan di klinik haiwan, doktor memberitahu kucing itu ditembak dengan guli besi dan tidak dapat diselamatkan sebelum pengadu membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak keesokan harinya kerana mengesyaki perbuatan itu dilakukan jirannya (tertuduh).

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal dan bersifat pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.

Hukuman berat katanya, perlu dikenakan bukan saja sebagai pengajaran kepada tertuduh atas kekejaman dilakukan terhadap haiwan comel seperti kucing malah bagi mencegah orang lain melakukan kesalahan sama.

“Bedah siasat doktor veterinar di Makmal Veterinar Zon Tengah, Sepang, Selangor mendapati kucing pengadu mati dalam keadaan menyayat hati iaitu akibat jangkitan kuman dalam darah disebabkan organ dalamannya berlubang kerana ditembak menggunakan bebola besi.

“Pendakwaan mengambil maklum jasa-jasa tertuduh sebagai askar dalam menentang pengganas komunis seperti dihujahkan peguam, namun sebagai bekas tentera dia sepatutnya lebih berdisiplin serta tahu menilai perkara baik dan buruk,” katanya sambil mengemukakan beberapa laporan akhbar terkini mengenai kes penganiayaan haiwan peliharaan.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Ishak Mohd Kari merayu mahkamah memberikan hukuman ringan dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk jasa tertuduh ketika menjadi askar pada 1980 hingga 1990, punca kejadian dan tanggungan anak-anak.

Antara lain katanya, tertuduh tertekan lebih 12 tahun akibat tindakan jirannya membela lebih 20 ekor kucing dan membiarkan ia berkeliaran di kawasan kejiranan hingga bukan saja memakan ayam ternakannya, malah membuang najis merata tempat.

Pada 21 Jun 2022, media melaporkan dua beranak ditahan polis kerana disyaki menembak kucing dengan senapang angin.

Loading...
Terkini