SEREMBAN: Wanita warga Indonesia dan ‘kekasihnya’ dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, hari ini, atas pertuduhan melakukan tilik nasib menggunakan kad tarot, secara dalam talian, tahun lalu.
Hakim Syarie Zulfikri Yasoa turut memerintahkan Herlin Juita, 39 dan Noriah Mahamad Isa, 40 membayar denda RM1,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara tujuh hari selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Herlin Juita didakwa melakukan perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu menilik nasib menggunakan kad tarot melalui aplikasi TikTok.
Kesalahan itu dilakukan pada 13 Disember 2024, jam antara 5 petang hingga 7 petang di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan, di sini.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.
Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Noriah pula didapati bersubahat dengan Herlin melakukan perbuatan itu dengan menjadi pembantu untuk menaikkan jumlah dan menarik perhatian penonton untuk menarik pelanggan.
Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 35 yang dibacakan bersama dengan Seksyen 52 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.
Pihak pendakwaan yang diwakili Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Azizuddin Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Difahamkan, kedua-dua tertuduh membayar denda berkenaan.
Media pada 18 Disember tahun lalu melaporkan wanita warga Indonesia bersama kekasihnya, juga wanita berperawakan seperti lelaki mampu meraih RM100 dalam tempoh dua jam dengan hanya menilik nasib seseorang menggunakan kad tarot.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.