Tumpuan :
Mahkamah

Tarikh pendengaran tangguh bicara warga Israel ditetapkan 28 Februari depan

Kenderaan polis dipercayai membawa warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa memperdagang enam pucuk pistol pelbagai jenis dan memiliki 200 peluru di sebuah hotel pada Mac tahun lalu. – FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Permohonan tertuduh warga Israel, Avitan Shalom untuk menangguhkan perbicaraan dua pertuduhan berkaitan senjata dan peluru ditetapkan pada 28 Februari depan.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan.

“Mahkamah menetapkan pengurusan kes bagi permohonan ini pada 20 Januari dengan pihak pendakwaan (responden) perlu memfailkan afidavit jawapan sebelum 28 Januari.

“Sekiranya ada afidavit balasan daripada pihak pemohon (pembelaan), mereka perlu memfailkannya pada atau sebelum 10 Februari,” katanya.

Terdahulu, ketika prosiding hari ini, peguam Muhamad Aiman Haziq yang mewakili Avitan selaku pemohon dalam hujahan ringkasnya berkata, pihaknya tetap bertegas untuk perbicaraan ditangguhkan kerana jurubahasa yang disediakan tidak berkelayakan.

“Kami percaya permohonan ini tidak akan menjejaskan kes responden. Kami juga ingin merekodkan bahawa permohonan kami bukan untuk menangguhkan perbicaraan dan permohonan ini tidak berniat jahat,” katanya.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya V Suloshani dalam hujahan balas berkata, pihaknya tetap membantah permohonan pihak pembelaan untuk menggantung perbicaraan itu.

“Bagaimana dikatakan jurubahasa yang disediakan tidak layak sedangkan jurubahasa belum lagi bercakap dengan tertuduh,” kata Suloshani.

Minggu lalu, Mahkamah Sesyen di sini melapangkan perbicaraan kes Avitan Shalom yang sebelum ini ditetapkan sepanjang Januari yang mana penangguhan dibuat kali ketiga.

Hakim Norina Zainal Abidin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan pembelaan untuk kes itu ditangguhkan bulan ini berikutan terdapat isu jurubahasa Ibrani (Hebrew) yang masih menjadi pertikaian.

Semasa prosiding, peguam Jeffrey Ooi yang mewakili Avitan berkata, pihak pembelaan memohon penangguhan berikutan masalah jurubahasa yang berkemungkinan menimbulkan isu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam tidak membantah perbicaraan ditangguhkan meskipun pihak pendakwaan bersedia dengan saksi-saksi.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak, Norina menetapkan 14 Februari ini bagi pengurusan kes itu.

Sebelum ini mahkamah menetapkan selama 12 hari bagi perbicaraan kes itu dengan tarikh-tarikh perbicaraan ialah 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 yang mana kesemua tarikh itu pada Januari 2025.

Seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.

Avitan, 39, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara jam 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lalu.

Sebelum ini, isu bahasa menjadi perdebatan hangat apabila Norina yang mendengar kes dengan tegas menegur tindakan Avitan yang memohon khidmat jurubahasa di saat akhir perbicaraan bermula.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini