comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tampar rakan sekerja, lelaki didenda RM1,000

FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Seorang bekas pekerja kedai perabot mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap rakan sekerja, bulan lalu.

Tertuduh, Rosli Satiman, 44 memaklumkan kepada Majistret Suhaila Shafi’uddin bahawa dia menampar pipi rakan sekerja kerana mangsa mendesaknya untuk berhenti kerja

Mengikut pertuduhan, dia yang telah berhenti kerja didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap rakannya berusia 20 tahun di sebuah kedai perabot di Jalan Kluang, di sini, jam 10 pagi, 29 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara setahun atau dengan RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku apabila tertuduh berang terhadap mangsa lalu menampar pipi kirinya menggunakan tangan.

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dan mendapat rawatan di hospital dengan laporan polis kemudian dibuat terhadap tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum kerana telah diberhentikan kerja serta perlu menanggung keluarga.

Selepas mengambil kira pengakuan bersalah dan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan mengarahkannya menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini