comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tahanan rumah: Permohonan Najib mulakan semakan kehakiman ditolak

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapat kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan kewujudan perintah tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, berhubung hukuman penjaranya.

Titah itu didakwa membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara enam tahun di rumah.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Amarjeet Singh memutuskan, kesemua afidavit yang dikemukakan peguam Najib bersifat dengar cakap atau ‘hearsay’.

Amarjeet memutuskan semua afidavit yang menyokong permohonan Najib termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersifat dengar cakap.

Katanya lagi, kedua-dua afidavit berkenaan hanya mengandungi kenyataan semata-mata tanpa menyatakan sumber dan kefahamannya terhadap titah adendum itu.

Susulan keputusan itu, peguambela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah, anak guamnya akan membuat rayuan hari ini.

“Kami juga sedang memikirkan sedalam-dalamnya sama ada kami perlu ataupun kami harus mengambil satu tindakan writ. Tindakan writ ini aia berlainan daripada tindakan Judicial Review,” katanya.

Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Beliau kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib dari 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini