Tumpuan :
Mahkamah

Syed Saddiq gagal mulakan semakan kehakiman cabar kerajaan

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman gagal memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan kerajaan yang didakwa memberhentikan peruntukan dana RM730,300 untuk perbelanjaan kebajikan rakyat di kawasan parlimen berkenaan.

Ia berikutan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan Ahli Parlimen Muar itu dan tiga pengundi kawasan Parlimen Muar untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berkenaan.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan menolak permohonan itu selepas memutuskan ia dibuat melebihi tempoh masa, justeru ia adalah remeh dan menyusahkan.

Hakim itu berkata, jika pun beliau tersilap dalam membuat kesimpulan itu, mahkamah terikat dengan prinsip undang-undang melalui kes terdahulu bahawa perkara membabitkan dasar eksekutif bukan dalam ruang lingkup mahkamah untuk menentukannya.

Tambahan pula, beliau berkata, tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang mengikat agensi kerajaan memperuntukkan dana kepada mana-mana Ahli Parlimen, tanpa mengira sokongan mereka kepada kerajaan.

Pada 23 April lalu, Syed Saddiq dan tiga pengundi Muar, iaitu Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah serta Muhamad Fadzly Bisri, memfailkan permohonan kebenaran berkenaan dengan menamakan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua.

Mereka memohon perintah membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta yang sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan untuk program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bencana.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini