
Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
ALOR GAJAH: Sebuah syarikat logistik yang didakwa menjadi punca kemalangan sehingga menyebabkan tujuh maut dalam nahas di Kilometer (KM) 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Utara pada 23 Disember lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah, pagi tadi.
Orang Kena Saman, syarikat Yinson Transport Sdn Bhd, yang diwakili pengurus operasinya, Ng Chee Keong, 36 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Dr Teoh Shu Yee.
Syarikat berkenaan dituduh telah melanggar syarat lesen iaitu membawa muatan serbuk simen jenis OPC seberat 68,260 kg iaitu lebih 16,260 kg daripada had berat yang dibenarkan iaitu 52,000 kg.
Syarikat itu dituduh melakukan kesalahan tersebut kira-kira 8.30 malam pada Disember lalu di KM204 PLUS arah Selatan.
Oleh yang demikian, syarikat itu didakwa melakukan kesalahan dengan membawa muatan lebih had berat yang dibenarkan di bawah Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 57(3) akta sama dan kenderaan tersebut hendaklah dilucuthakan di bawah Seksyen 80(4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Seksyen 57(3) menetapkan hukuman denda minimum RM1,000 atau maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, manakala Seksyen 80(4) pula membabitkan pelucuthakan kenderaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohd Asri Abd Rahman Sidik manakala syarikat terbabit diwakili peguam Chew Jee San.
Mahkamah menetapkan 8 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.