comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Syamsul mahu tarik balik saman terhadap JAWI, MAIWP

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Syamsul Yusof, 39 tahun berhasrat menarik balik saman difailkan terhadap pegawai penyiasat dan pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang didakwanya menyebarkan fakta aib mengenai hubungannya dengan Ira Kazar kepada ibunya, Datin Patimah Ismail.

Perkara itu disahkan Datuk Adnan Seman yang mewakili MAIWP ketika dihubungi media selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Aisyaf Falina Abdullah hari ini.

“Mahkamah menetapkan 13 Julai ini untuk pengurusan kes,” katanya.

Syamsul memfailkan saman itu atas alasan pihak defendan telah menyebarkan fakta aib dan memalukan kepada ibunya berhubung kenyataan isteri keduanya Faghira Fatini atau lebih dikenali sebagai Ira Kazar, yang dipanggil memberi keterangan kepada JAWI pada Ogos tahun lalu.

Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof selaku plaintif menamakan Pegawai Hal Ehwal Islam di Bahagian Penguatkuasaan Jawi, Mohd Haris Abdllah; Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail dan MAIWP sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Plaintif yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Asia Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik di Kemboja menuntut ganti rugi teladan (tidak dinyatakan jumlah) ke atas defendan kerana didakwa dengan sengaja dan berniat jahat untuk membuka aibnya.

Beliau juga memohon deklarasi gambar pernyataan yang mengandungi namanya dan Ira, 28 tahun serta pernyataan bertulis mengenai kedua-dua mereka yang diambil oleh defendan atau ejennya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 dan undang-undang yang berkait. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini