KUCHING: Mahkamah Majistret Sibu membenarkan suspek ugut bunuh penyanyi, Baby Shima, ditahan reman tiga hari sehingga Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, suspek yang juga pemandu lori berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.15 malam tadi di Kota Sentosa, di sini.
Penahanannya dibuat selepas laporan polis dibuat susulan komen suspek di platform media sosial Facebook (FB) yang berbaur ugutan dan mengancam keselamatan penyanyi terbabit.
Antara lain ugutan itu memberi amaran supaya Baby Shima berhati-hati sekiranya tidak mahu pulang sebagai mayat.
Baby Shima atau nama sebenar, Nor Ashima Ramli membuat laporan itu di Balai Polis Sentral Sibu, pada malam Isnin lalu.
Penyanyi itu yang dalam urusan kerja di Sibu ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, ketika tampil membuat laporan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.