Tumpuan :
Mahkamah

Suspek tidak mengaku tembak, cuba bunuh pasangan suami isteri

Suspek, Abdurrahman Abdullah tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen di Kluang Johor diiringi anggota polis. FOTO NSTP

KLUANG: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan cubaan membunuh sepasang suami isteri di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, di sini, 10 Februari lalu.

Tertuduh yang dikenali sebagai Man Tiger atau nama sebenarnya Abdurrahman Abdullah, 33, mengaku memahami pertuduhan yang dikenakan terhadapnya di hadapan Hakim, Mujib Saroji.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas didakwa melepaskan tembakan terhadap mangsa wanita berusia 37 tahun, dalam kejadian di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam pada jam 12.17 tengah hari pada 10 Februari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama-sama dua lagi rakan sama, melepaskan tembakan terhadap Ahmad Fadhullah Mohamed, 38, pada masa dan tempat sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Suniza Nan Yan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Kent Tan Chow Teng.

Susulan pengakuan tidak bersalah oleh tertuduh, pegawai pendakwa memohon supaya dia tidak diberikan jaminan kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius kerana membabitkan penggunaan senjata api dan tular.

Chow Teng memohon budi bicara mahkamah untuk wang jaminan yang rendah kerana tertuduh yang bekerja sebagai pekerja katering menjaga saudaranya yang uzur dan sakit selain menanggung kakak sendiri.

Hakim kemudian memutuskan tiada jaminan diberikan kepada tertuduh kerana kes membabitkan kepentingan masyarakat dan lelaki itu masih berdepan kes lain yang sedang berjalan.

Mahkamah menetapkan 20 Mac depan untuk sebutan semula di mahkamah sama dan penyerahan dokumen.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini