Tumpuan :
Mahkamah

Suspek tembak suami isteri direman, miliki 27 rekod lampau

BATU PAHAT: Seorang lelaki yang dikenali sebagai Man Tiger, 32, direman tujuh hari selepas didakwa melepaskan enam das tembakan terhadap sepasang suami isteri di Simpang Renggam, Kluang, semalam.

Ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat petang tadi, suspek sempat meluahkan kata-kata “Sudah-sudahlah” apabila wajahnya dirakam media.

Majistret Mustaqim Sukarno membenarkan perintah reman sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat).

Terdahulu, pasangan suami isteri menempuh detik cemas apabila suspek melepas enam das tembakan dalam kejadian cubaan bunuh di Kampung Bukit Batu Machap, Simpang Renggam, di sini, tengah hari semalam.

Pasangan berusia 38 dan 36 tahun itu bernasib baik apabila kesemua tembakan dilepaskan tersasar dalam kejadian jam 12.17 tengah hari.

Sebelum kejadian, mangsa berada di rumah ternampak sebuah Perodua Bezza memasuki halaman rumahnya.

Tiga lelaki berada di hadapan pintu rumah mangsa dengan seorang daripadanya mengeluarkan pistol lalu melepaskan tembakan ke arah pasangan terbabit.

Bagaimanapun, tujuh jam selepas kejadian, polis menahan suspek di Tepi Jalan Setia 1, Pusat Setia Perdagangan, Simpang Renggam dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

Malah, semakan polis juga mendapati suspek memiliki 27 kes rekod lampau dan pada masa sama, polis turut mengesan tujuh lagi suspek dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini