Tumpuan :
Mahkamah

Sumbang mahram: ‘Perbuatan tertuduh terkutuk dan keji’ – Hakim

Seorang peniaga pakaian warga Bangladesh dipenjara 22 tahun dan 15 sebatan selepas didapati bersalah atas pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 13 tahun sehingga melahirkan anak. – Foto: NSTP

SEREMBAN: Seorang lelaki warga Bangladesh akhirnya menerima balasan atas perbuatan sumbang mahram terhadap anak tiri perempuannya berusia 13 tahun sehingga melahirkan anak, tiga tahun lalu.

Dia dihukum 22 tahun penjara dan 15 kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah atas tuduhan itu.

Hakim Datin Surita Budin ketika menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, 44, berkata, mahkamah mengambil kira faktor rayuan serta faktor kepentingan awam dan berpendapat tidak boleh bertolak ansur dengan kes sumbang mahram kerana perbuatan tertuduh adalah terkutuk dan keji.

Menurut Surita, tertuduh sepatutnya melindungi anak tirinya dan bukan mengambil kesempatan atas mangsa yang baru berusia 13 tahun sehingga hamil dan melahirkan anak.

“Ia ditambah pula dengan faktor ibu kandung mangsa yang baru sahaja meninggal dunia ketika kejadian berlaku.

“Tindakan tertuduh umpama haruan makan anak yang meninggalkan kesan trauma dalam jangka masa panjang dan jangka masa pendek kepada mangsa,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh  melakukan sumbang mahram terhadap anak tiri perempuannya yang ketika kejadian berusia 13 tahun kira-kira jam 10.30 malam di Kampung Orang Asli Tekir Mentera Labu, Batu 10, di sini, pada 15 Februari 2020.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam  merayu dikenakan hukuman penjara minimum dari tarikh dia ditangkap dan meminta dikecualikan hukuman lain atas alasan pernah menjalani pembedahan tulang belakang yang patah akibat kemalangan jalan raya.

Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung pula meminta mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana kejadian itu semestinya memberi trauma terhadap mangsa yang akan diingatinya sepanjang hidupnya.

“Saksi adalah anak tiri yang telah kehilangan ibu yang menghidap kanser otak dan mangsa bergantung sepenuhnya pada tertuduh untuk menjaga dan melindunginya.

“Tetapi tertuduh telah ambil kesempatan dan menganiaya mangsa empat kali sehingga umur 13 tahun dan sekiranya mangsa tidak mengandung dan isu ini tidak diketahui pihak sekolah, sudah tentu kejadian ini berlanjutan dan tertuduh akan terus mengambil kesempatan terhadapnya,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 22 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 22 Februari 2020 dan 15 kali sebatan.

Loading...
Terkini