Tumpuan :
Mahkamah

Suami isteri mengaku bersalah, ganggu penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM: Suami isteri yang menganggu pemanduan pengguna jalan raya dengan menakutkan penunggang motosikal di Jambatan Pulau Pinang sehingga video perbuatan mereka tular di media sosial, masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Hukuman itu ditetapkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit selepas kedua-dua tertuduh Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 50 dan isterinya, Ong Ser Ying, 37 mengaku bersalah atas perbuatan berkenaan.

Nurul Rasyidah turut memerintahkan penjara enam bulan terhadap kedua-dua tertuduh sekiranya denda itu gagal dibayar.

Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa telah menakutkan dua lelaki secara jenayah ketika menunggang motosikal di Kilometer (KM)2.8 Jambatan Pertama Pulau Pinang dari arah Pulau ke Perai, kira-kira jam 5 petang, pada 5 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shakila Dahari manakala pasangan berkenaan tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadap mereka, selain tertuduh wanita berulang kali memohon maaf atas kesalahan dilakukannya.

Nor Shakila memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman bersesuaian memandangkan perbuatan mereka yang mendatangkan bahaya.

Kedua-dua tertuduh yang juga peniaga makanan meminta denda minimum dikenakan terhadap mereka sebelum mahkamah menetapkan denda masing-masing RM2,500 dan sekiranya gagal bayar, penjara enam bulan.

Dalam video tular itu, suspek wanita didapati membaling sesuatu objek dipercayai pasir dan cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memotong motosikal ditunggangi suaminya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini