IPOH: Sepasang suami isteri berpelukan dan menangis kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi Ipoh melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar 19.90 gram (g) dadah, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Yasmi Mohammad Yasin, 48, dan isterinya, Rossuhili Ikhsan, 47 dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan berkenaan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas pertuduhan yang dihadapi pasangan itu.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed di akhir kes pendakwaan selepas mempertimbangkan pendakwaan terhadap tertuduh dan memperhalusi penghujahan bertulis pembelaan di peringkat akhir pendakwaan.
Sejurus keputusan itu dibacakan, pasangan suami isteri itu dilihat gembira sambil saling berkucupan sesama sendiri.
Sebaik keluar dari kandang tertuduh Rossuhili turut dilihat menangis berpelukan dengan individu lain dipercayai ahli keluarganya termasuk dua anak pasangan itu yang turut hadir mendengar keputusan mahkamah hari ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saifulakmal Mod Said manakala tertuduh diwakili peguambela, Mohamad Hafiz Jalaludin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, suami isteri itu didapati mengedar dadah berbahaya iaitu 10.9 gram heroin serta 9.0 gram monoacetylmorphines di rumah beralamat di No. 16, Jalan Melati, Kg Sri Klebang, Chemor, di sini kira-kira jam 7 malam 27 September 2020.
Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.