Tumpuan :
Mahkamah

Suami isteri dipenjara 12 bulan curi, subahat miliki 54 tabung kutipan derma

Nuruddin Hasbullah Zainal, 33 dan isteri, Syaidatul Nor Syahidra Firdaus, 35, mengaku salah atas lima pertuduhan mencuri dan bersubahat memiliki 54 tabung kutipan derma sejak November lalu.

AYER KEROH: Mahkamah Majistret di sini, menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara ke atas suami isteri kerana mencuri dan bersubahat memiliki 54 tabung kutipan derma sejak November lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri selepas kedua-dua tertuduh, Nuruddin Hasbullah Zainal, 33 dan isteri, Syaidatul Nor Syahidra Firdaus, 35, mengaku salah dan disabitkan atas lima pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didapati memiliki 21 dan 33 tabung derma pelbagai jenis serta gagal memberikan penjelasan memuaskan kepada pihak berkuasa bagaimana tabung itu diperoleh.

Pertuduhan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka juga dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 29(1) AKK 1955 kerana bersubahat memiliki tabung derma Madrasah Darul Tolabah dan Huffaz Melaka yang disyaki harta curi tanpa alasan munasabah.

Shaidatul turut berdepan pertuduhan melakukan kesalahan bersubahat menyimpan atau memiliki harta curi iaitu tabung madrasah dan dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Semua kesalahan dilakukan dalam bilik sebuah rumah dan dalam bonet Perodua Bezza di Amber Cove Residence pada 4 Disember lalu, jam 12.10 tengah malam.

Nuruddin Hasbullah turut mengaku bersalah mencuri tabung derma Madrasah Tahfiz Al-Quran Desa Darul Naim Kasih, Sungai Rambai di kedai menjual buah-buahan di Lorong Pandan, dekat sini pada 11 November lalu, kira-kira jam 11.30 malam.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal kerana kesalahan berulang dilakukan pasangan itu selain sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin bagaimanapun merayu pasangan suami isteri dikenakan hukuman penjara minimum kerana sudah menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan keluarga dan anak berusia 10 tahun yang dijaga ibu mentua.

Sementara itu, Nuruddin Hasbullah dan Syaidatul Nor Syahidra masing-masing didakwa memberikan dadah kepada diri sendiri iaitu methamphetamine dan tetrahydrocannabinol, serta pertuduhan bersama memiliki dadah berbahaya kanabis berat kasar 8 gram.

Kes ditetapkan untuk sebutan bagi laporan patalogi dan kimia pada 5 Februari 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini