comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Suami isteri bebas tuduhan edar dan miliki dadah

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskan pasangan suami isteri daripada pertuduhan mengedar dan memiliki dadah berbahaya, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh, Mohd Erry Edzmir Ab Manan, 35 dan Noor Aisha Marzuki, 34, di akhir kes pendakwaan.

Selepas menimbang secara maksimum keterangan yang dikemukakan sepanjang kes pendakwaan dan selepas menghalusi hujahan bertulis kedua-dua pihak, hakim memerintahkan dua tertuduh itu tidak perlu dipanggil membela diri.

Selesai prosiding, peguam Mohd Daud Ismail yang mewakili kedua-dua tertuduh memberitahu, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa anak-anak guamnya mempunyai kawalan atau jagaan ke atas semua dadah berbahaya yang ditemui di tempat kejadian.

“Faktor kedekatan semata-mata tidak mencukupi membuktikan pemilikan terhadap dadah berbahaya yang ditemui di tempat kejadian dan pihak Pendakwaan gagal mengecualikan akses orang lain terhadap tempat kejadian.

“Anggapan bertentangan di bawah Seksyen 114(g) Akta Keterangan 1950 juga berjaya dibangkitkan terhadap pihak pendakwaan atas kegagalan mengemukakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian selain pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa anak-anak guam saya mempunyai pengetahuan ke atas kewujudan dadah berbahaya di tempat kejadian,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan pindaan pertama dan kedua, tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat bersih 2,131.95 gram, manakala pertuduhan pindaan kedua, mereka bersama-sama didakwa memiliki Etizolam dengan berat bersih 1.99 gram.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut di sini, jam 9 malam, 17 September 2019, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd Said dan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini