Tumpuan :
Mahkamah

Suami isteri antara 3 didenda RM4,000, rentas sempadan guna laluan haram

Tiga individu didenda RM4,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memasuki Malaysia dari Thailand menggunakan laluan haram pada 3 Januari. – Foto NSTP

PASIR MAS: Tiga rakyat tempatan, termasuk pasangan suami isteri, didenda RM4,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memasuki Malaysia dari Thailand melalui laluan haram di Pangkalan Haram Pohon Jambu, Rantau Panjang, minggu lalu.

Tertuduh, Lim Wu Han, 34, serta pasangan suami isteri, Rajmidi Sahli, 50, dan Nursyuhada Abdullah, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Berdasarkan fakta kes, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan pemantauan di sekitar Pangkalan Haram Pohon Jambu selama lima minit sebelum melihat ketiga-tiga tertuduh menaiki bot dari arah Thailand ke tebing sungai terbabit.

Bot yang membawa tertuduh dikemudi seorang lelaki, yang kemudiannya kembali ke arah Thailand sejurus tertuduh turun di tebing Malaysia. Ketika itu, anggota PGA memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan menahan tertuduh.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga individu tersebut merupakan warganegara Malaysia dan memiliki kad pengenalan sah.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazalia Che Suhaimin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nabila Mohd Noordin.

Syazalia memohon hukuman setimpal dijatuhkan bagi memberi pengajaran kepada tertuduh supaya menggunakan laluan sah selepas ini.

Dalam rayuannya, Nabila memohon hukuman minimum, memaklumkan Lim bekerja sebagai pembantu kedai, Rajmidi sebagai penyelia tapak, manakala Nursyuhada tidak bekerja.

Mahkamah akhirnya menetapkan denda RM4,000 untuk setiap tertuduh dan memutuskan hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini