![](https://media.buletintv3.my/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-10-at-11.28.00-AM.jpeg)
JOHOR BAHRU: Seorang suami didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan membakar kereta isterinya, minggu lalu.
Tertuduh, Chai Kaw Fung, 26, yang juga pekerja kedai aksesori bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Thalha Bachok@Embok Mok.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api mengakibatkan kerosakan dengan cara membakar kereta Toyota Vios milik isterinya, See Li Jing, 21.
Kaw Fung dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Tebrau, menghala ke pusat bandar raya, kira-kira jam 10.20 malam pada 2 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala Kaw Fung diwakili peguam, Goh Sze Han.
Timbalan Pendakwa Raya kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.
“Syarat tambahan termasuk tertuduh perlu melapor diri di balai polis sekali sebulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.
Bagaimanapun peguam tertuduh merayu supaya jumlah jaminan berkenaan dikurangkan kerana ia terlalu tinggi.
“Tiada bantahan terhadap syarat tambahan melapor diri di balai polis dan tidak menganggu saksi pendakwaan, bagaimanapun anak guam perlu menggunakan pasport untuk berulang-alik ke Singapura untuk mengambil stok barangan untuk kerjanya.
“Tertuduh juga hanya bergaji RM3,000 sebulan dan perlu menanggung anak tunggal berusia dua tahun selain ibu bapanya yang kini uzur,” katanya.
Hakim kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis sekali sebulan.
“Tertuduh juga diperintahkan menyerahkan pasportnya ke mahkamah selain tidak menganggu saksi pendakwaan sehingga kes ini selesai,” katanya.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Mac depan untuk serahan dokumen.
Minggu lalu, tular rakaman video seorang lelaki membakar kereta dipercayai milik isterinya di Jalan Tebrau, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata perselisihan faham rumah tangga, disyaki menjadi punca sebuah kereta Toyota Vios disimbah petrol sebelum dibakar dalam kejadian berkenaan.
Raub dilaporkan berkata kejadian khianat itu dilakukan sendiri oleh suami kepada pemilik kereta berkenaan yang menyebabkan mangsa kerugian hampir RM90,000.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.