Tumpuan :
Mahkamah

SRPM tahan reman 2 anggota penguat kuasa disyaki minta, terima rasuah RM6,000

Dua anggota penguat kuasa dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Setar selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas penjualan ketum di Kedah.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menahan reman dua anggota penguat kuasa disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas penjualan ketum di negeri tersebut.

Perintah reman selama lima hari sehingga 19 Januari itu telah dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan sekitar jam 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di SPRM Kedah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Jun 2023.

“Kedua-dua suspek telah menerima rasuah kira-kira RM6,000 daripada peniaga ketum sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas aktiviti-aktiviti tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini