Tumpuan :
Mahkamah

SPRM tahan reman 5 individu kes seleweng dana pelaburan RM104 juta

Lima individu ditahan reman selepas disyaki terbabit dalam satu penipuan yang melibatkan dana pelaburan orang awam.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman lima individu disyaki terbabit dalam satu penipuan yang melibatkan dana pelaburan orang awam.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 21 Januari itu telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, kelima-lima suspek termasuk empat ahli lembaga pengarah syarikat yang berusia lingkungan 50-an sehingga 60-an telah ditahan sekitar jam 7 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.

“SPRM telah menerima beberapa aduan dan maklumat berkaitan kegiatan berunsur jenayah yang dilakukan oleh sebuah syarikat pemegang amanah berlesen di bawah Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia.

“Syarikat tersebut didapati menggunakan dana yang dikumpul daripada pelabur-pelabur untuk kepentingan peribadi individu-individu yang bersekongkol dalam kegiatan jenayah ini,” katanya.

Tambahya, sejumlah kira-kira RM104 juta telah dikesan diselewengkan daripada syarikat tersebut ke beberapa syarikat persendirian yang dimiliki oleh proksi.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dalam satu operasi digelar Op Trust dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata modus operandi kegiatan tersebut memerlukan kepakaran yang tinggi dalam kalangan pegawai SPRM untuk menjejak aliran kewangan.

Selain itu katanya, siasatan ini juga bertujuan membantu kerajaan mengukuhkan kepercayaan awam terhadap badan pengawal selia yang mengeluarkan lesen untuk syarikat-syarikat pemegang amanah, selain mewujudkan platform yang bersih dan selamat untuk bakal pelabur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini