Tumpuan :
Mahkamah

SPRM tahan 2 kakitangan badan berkanun disyaki seleweng RM600,000


KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis telah menahan reman dua kakitangan sebuah badan berkanun di Negeri Perlis, termasuk seorang Pengurus Akaun, kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan melakukan penyelewengan wang untuk kegunaan peribadi bernilai kira-kira RM600,000.

Perintah reman selama empat hari sehingga 11 Januari dikeluarkan Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Kangar pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek wanita yang berusia antara 30 hingga 40-an itu ditahan kira-kira jam 1 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis.



Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2024.

SPRM Perlis juga telah menyita dan merampas beberapa barangan mewah, termasuk barangan kemas bernilai kira-kira RM100,000, dipercayai diperoleh hasil daripada perlakuan jenayah tersebut.

Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Beliau turut menyatakan SPRM Perlis akan melihat aspek tatakelola di badan berkanun tersebut untuk mengenal pasti jika terdapat kelemahan sistem dan prosedur pengurusan terimaan dan perbelanjaan yang boleh membuka ruang bagi berlakunya penyalahgunaan kuasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
 
Loading...
Terkini