comscore
Tumpuan :
Mahkamah

SPRM reman dua individu disyaki membuat tuntutan palsu bernilai RM100,000

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman Bekas Ketua Pegawai Kewangan dan Bekas Ketua Pegawai Operasi syarikat berkaitan hartanah kerana disyaki mengemukakan dokumen tuntutan pembayaran palsu bernilai kira-kira RM100,000.

Menurut sumber, suspek yang merupakan seorang wanita dan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira jam 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Susulan penahanan itu, kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi ini dan perintah reman selama tiga hari sehingga 29 Jun dikeluarkan Majistret Ellyna Othman.

“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak Januari 2021 hingga April 2022 dan menerima kesemua bayaran secara pindahan akaun bank milik mereka (suspek) .

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki telah mengemukakan 42 dokumen tuntutan pembayaran palsu yang menyebabkan kerugian kepada syarikat sedangkan tiada pembekalan barangan atau kerja-kerja telah dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini