comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sogok polis RM500, warga Myanmar didenda RM10,000

Foto: NSTP

BUTTERWORTH: Pekerja warga Myanmar didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberi rasuah RM500 kepada seorang anggota polis bantuan, dua minggu lalu.

Hakim Zulhazmi Abdullah turut memerintahkan penjara empat bulan terhadap Win Kyaw Moe, 53, sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Kyaw Moe didakwa memberikan suapan berjumlah RM500 kepada seorang anggota Polis Bantuan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berpangkat konstabel berusia 33 tahun.

Ia adalah sebagai balasan supaya anggota polis itu memberi kebenaran masuk kepada empat pekerja kontrak di bawah seliaan tertuduh di tapak kerja Loji Guillemard milik PBAPP.

Sedangkan kesemua pekerja terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan iaitu memalsukan kad pendaftaran personel binaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang dikemukakan untuk memasuki tapak kerja berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Wisma Jelutong, Daerah Timur Laut kira-kira jam 10 pagi, pada 13 September lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam Soffian Azmir.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh turut menghubungi anggota polis itu serta menghantar nota suara meminta nombor akaun bank bagi tujuan memasukkan wang walaupun sudah diingatkan berkali-kali bahawa perbuatan itu salah di sisi undang-undang.

Tertuduh dikatakan menawarkan wang suapan bulanan berjumlah RM500 selama setahun.

Semasa prosiding, peguam tertuduh merayu supaya hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya dengan alasan tertuduh tidak memiliki pendapatan tetap dan perlu menyara seorang isteri serta anak berusia 11 tahun.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal berikutan kesalahan dilakukan tertuduh serius.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan jika gagal bayar tertuduh bakal dipenjarakan selama empat bulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini