comscore
Tumpuan :
Mahkamah

SLS dapat kebenaran cabar hak 40 peratus hasil Sabah

KOTA KINABALU: Rayuan Peguam Negara terhadap kebenaran diberikan Mahkamah Tinggi kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada November 2022 berkaitan semakan kehakiman 40 peratus hasil Sabah ditolak Mahkamah Rayuan hari ini.

Keputusan itu dibuat hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang pada prosiding dalam talian, hari ini.

Bekas Presiden SLS, Datuk Roger Chin berkata, berikutan keputusan itu, SLS kini boleh meneruskan prosiding semakan kehakiman yang berkaitan dengan kelayakan Sabah mendapatkan semula 40 peratus hasil yang dikutip Persekutuan di negeri ini.

“Rayuan Peguam Negara ditolak tanpa perintah mengenai kos. Perbicaraan substantif semakan kehakiman akan didengar Mahkamah Tinggi,” katanya dalam maklum balas ringkas beliau mengenai keputusan itu.

Katanya, SLS akan mengeluarkan kenyataan penuh berhubung perkara itu selepas ini.

Pada 11 November 2022, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memberikan kebenaran kepada SLS untuk memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan kegagalan kerajaan persekutuan untuk memulangkan 40 peratus hasil tahunan yang diperoleh daripada Sabah kepada kerajaan negeri.

Hakim Mahkamah Tinggi Ismail Brahim membenarkan permohonan SLS bagi mendapatkan kebenaran bagi meneruskan semakan kehakiman bahawa ia mempunyai locus standi untuk berbuat demikian kerana ia adalah litigasi berkepentingan awam.

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memperoleh perintah penangguhan bagi menghalang Mahkamah Tinggi mendengar merit kes itu sementara menunggu rayuan.

SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 2022 bagi membatalkan warta Kerajaan Persekutuan mengenai geran tahunan sebanyak RM125.6 juta untuk Sabah dengan mendakwa ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini