KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi dalam penghakiman beliau menyifatkan tindakan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, menganiaya remaja sindrom Down dikenali Bella, 13 tahun sebagai kejam.
Justeru, Siti Bainun selaku tertuduh kata beliau, perlu dikenakan hukuman berat sebagai peringatan dan isyarat kepada masyarakat bahawa kesalahan jenayah itu tidak boleh dilakukan sama sekali.
Menurut Izralizam, tertuduh adalah aktivis masyarakat yang sering terbabit kebajikan kanak-kanak sewajarnya lebih tahu serta memahami tanggungjawab yang perlu digalas sebaik mungkin dan bukan menyalahgunakan serta melanggar amanah diberikan.
“Maka hukuman yang berat perlu dikenakan bagi memastikan kepentingan awam diberikan perhatian yang lebih dan sewajarnya.
“Saya juga perlu akur bahawa setiap hukuman yang akan dijatuhkan hendaklah berdasarkan kepada kesalahan, keadaan ketika mana kesalahan dilakukan sama ada dengan atau tanpa keganasan, umur, latar belakang tertuduh, rayuan dan pandangan pihak pendakwaan,” katanya dalam keputusan penghakiman.
Mahkamah mengenakan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapatinya bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja berkenaan.
Hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini, susulan Siti Bainun dikenakan penjara 10 dan 12 tahun masing-masing atas kesalahan mengabai serta menganiaya Bella.
Siti Bainun juga diarahkan menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan cagaran RM5,000 dan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam yang disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Izralizam berkata, kecederaan dialami Bella adalah serius, malah sehingga kini meninggalkan parut.
“Bella bukan saja diabaikan oleh tertuduh sehingga menyebabkan kecederaan yang teruk, malah tertuduh turut terbabit dalam menganiaya Bella,” katanya.