Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Sindiket curi wang pelanggan RM24.7 juta: 10 didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang

 

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: 10 individu termasuk dua pengurus bank didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Semua individu terbabit didakwa di hadapan Hakim Amir Syah Amir Hassan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka adalah Irene Chin Nyuk Thien, 38 tahun; Christina @ Caroline Pianus Etip, 53; Subramaniam Thangavelu, 56; Josepin J Langkan, 38; Nasir Abdul Rasid, 60; Sugumaran K Ponniah, 56; Vireonis Jonok, 35; Leong Hin Ping, 62; Hasran Magin, 46, dan Mazlani Jenuary, 53.

Tertuduh Irene dan Christina masing-masing bertugas sebagai pengurus cawangan bank, Subramaniam (guru), Josepin (kontraktor), Nasir dan Hin Ping (pesara), Sugumaran (bekerja sendiri), Vireonis dan Mazlani (penganggur) manakala Hasran (nelayan).

Mereka dituduh secara berasingan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang terlibat dalam kesalahan serius untuk memperoleh faedah material bagi kumpulan dipimpin Josepin.

Semua individu terbabit didakwa melakukan jenayah terbabit antara 26 April dan 10 Julai lalu di cawangan MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) Kota Kinabalu.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail dan Maryam Jamielah Ab Manaff, manakala semua tertuduh diwakili peguam kecuali Hasran.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebelum mahkamah menetapkan 13 September depan untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Terdahulu, kenderaan polis yang membawa semua suspek masuk ke Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 8.22 pagi dan keluar jam 11.45 pagi.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, pengurus bank antara 10 individu terbabit sindiket curi wang deposit tetap milik pelanggan berjumlah RM24.7 juta akan dituduh, hari ini.

Polis sebelum ini telah menahan 14 individu berusia antara 26 hingga 63 tahun mengikut Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tindakan itu selepas pasukan penyiasat berjaya mengenal pasti wujud elemen kumpulan jenayah terancang dalam sindiket itu yang bertindak secara bersama bagi mendapatkan faedah material.

Menurutnya lagi, sindiket itu memulakan perancangan sejak penghujung 2023 dan mula bertindak pada Mac hingga Jun tahun ini, didapati mempunyai niat dan perancangan rapi.

Kumpulan itu turut menghasilkan kad pengenalan palsu yang boleh digunakan dalam urusan bank sehingga mampu memanipulasi alat pengimbas cap jari yang digunakan pihak bank.

15 Jun lalu, media melaporkan seorang kakitangan bank ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan wang daripada akaun simpanan tetap membabitkan kerugian RM24.7 juta.

Polis menerima empat laporan daripada pemilik akaun dan kakitangan bank awal Jun lalu di Petaling Jaya, Selangor, yang menyedari pengeluaran wang secara tunai mencurigakan di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap.

14 individu ditahan termasuk empat pegawai bank dan ahli perniagaan bergelar Datuk di beberapa serbuan di Sabah dan Perlis.

Bank Negara Malaysia (BNM) pula meminta pemulangan segera wang kepada pemegang akaun terjejas dan pada 24 Jun lalu, MBSB Bank memaklumkan sudah memulangkan semula wang daripada empat akaun simpanan tetap berjumlah RM24.2 juta yang dicuri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini