JOHOR BAHRU: Tujuh individu yang ditahan semalam, kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini, akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini, bagi mendapatkan perintah reman.
Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek berumur lingkungan 19 hingga 62 tahun, yang ditahan susulan serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek awal pagi semalam.
Turut direman dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.
Jenazah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, yang meninggal dunia dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram itu dijangka dituntut waris hari ini untuk disemadikan di kampung halaman masing-masing.
Jenazah Ahmad Azza Fahmi akan dikebumikan di Kampung Poh, Bidor, Perak manakala Muhamad Syafiq disemadikan di Kuantan, Pahang.
Setakat jam 7 pagi tadi, tinjauan Bernama mendapati suasana di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI) lengang dan belum terdapat mana-mana waris mangsa yang hadir.
Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 dan 24 tahun serta suspek yang berumur 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan itu cedera.
Anggota polis yang cedera akibat ditembak kini dirawat di HSI dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.– BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Polis siasat ancaman Jemaah Islamiyah dalam negara
- “Bapa mana yang tak sedih apabila anak terkorban dalam keadaan begini….”
- ‘Saya reda dengan ketentuan’ – Bapa Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq
- 15 tahun selepas Noordin Mohd Top disemadikan Jemaah Islamiyah muncul kembali di Ulu Tiram
- Serangan balai polis: Keluarga suspek memencilkan diri, kediaman di kawasan persendirian berpagar
- ‘Ami, terima kasih jadi anak yang baik’
- 2 anggota polis terkorban akan dikebumikan di Bidor, Gambang
- Polis tolak anggapan akan berlaku serangan di lokasi lain
- 2 pelajar IPT ditahan, disiasat pembabitan dalam kes serangan balai polis
- Suspek serang balai polis sudah buat persediaan awal – KPN
- Suspek serang, bunuh 2 anggota di Balai Polis Ulu Tiram sah ahli JI – KPN
- Lebih 50 anggota polis kawal ketat Balai Polis Ulu Tiram
- [VIDEO] KPN akan adakan sidang media kes 2 anggota maut, 1 cedera di Balai Ulu Tiram
- Lelaki bertopeng serang Balai Polis Ulu Tiram