KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi individu bergelar Datuk yang disyaki terlibat dalam kes rasuah sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan di Sarawak bernilai kira-kira RM250 juta.
Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 50-an itu direman selama lima hari sehingga Ahad ini selepas Majistret Mason Jaro Lenya Barayan membenarkan permohonan yang dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Kuching, pagi ini.
Sumber itu berkata suspek merupakan rakan kongsi kepada pengarah syarikat yang sebelum ini telah ditahan oleh SPRM pada Khamis lepas dan dipercayai berpakat dan berkomplot bagi membolehkan beberapa syarikat mendapat projek-projek pembinaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Kerja Raya di sebuah daerah di Sarawak.
“Mereka dipercayai telah melakukan perbuatan itu antara tahun 2022 hingga 2024 sebagai balasan mendapatkan projek-projek pembinaan yang bernilai kira-kira RM250 juta.
“Susulan itu, suspek telah ditahan sekitar pukul 6.30 petang semalam di sebuah daerah di negeri Sarawak,”* katanya ketika dihubungi hari ini.
Setakat ini, SPRM telah menahan tiga individu termasuk seorang jurutera awam berhubung dengan kes tersebut.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009 dan beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan kes terbabit.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.