PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 9 Mei depan bagi mendengar rayuan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarganya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mereka.
Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa tarikh pendengaran rayuan itu ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norshakinah Ahmad Kamarudin hari ini.
Liew hadir mewakili Peguam Negara pada prosiding pengurusan kes hari ini, manakala peguam Alicia Gomez mewakili Tun Daim dan keluarga.
Tun Daim dan keluarganya memfailkan rayuan pada 5 Mac, sehari selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan mereka.
Pada 4 Mac, Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan bahawa Tun Daim dan keluarganya gagal membuktikan terdapat unsur mala fide (niat jahat) terhadap pegawai SPRM yang menjalankan siasatan.
Tun Daim, 85, isterinya Toh Puan Nai’mah Abdul Khalid, 66, dan empat anak mereka – Asnida, 62, Md Wira Dani, 45, Muhammed Amir Zainuddin, 28, dan Muhammed Amin Zainuddin, 25 serta Ilham Tower Sdn Bhd memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 10 Januari lalu.
Mereka menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai responden.
Menerusi permohonan itu, pemohon mendakwa pada 30 Disember 2023, SPRM telah mengeluarkan kenyataan bahawa satu siasatan terhadap Tun Daim telah dibuka berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora.
Tun Daim berkata Kertas Pandora ialah fail sulit yang bocor pada 2021 yang mendedahkan nama-nama pemilik syarikat luar pesisir, aset serta akaun bank di luar bidang kuasa Malaysia dan semua fail tidak menunjukkan sebarang salah laku beliau dan keluarganya.
Oleh itu, mereka memohon antara lain perintah mahkamah supaya SPRM dan pegawainya membatalkan semua siasatan yang dimulakan terhadap pemohon dari Februari 2023 sehingga kini serta membatalkan semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Mahkamah tolak permohonan Daim dan keluarga untuk cabar siasatan SPRM
- [VIDEO] Azam Baki sahkan disaman Daim
- SPRM nafi tawar RM100,000 untuk maklumat mengenai aset Daim
- Tun Daim mohon bicara tidak isytihar harta
- Permohonan isteri Daim mahu pasport secara kekal didengar 13 Mac
- Permohonan batal pertuduhan Daim, isteri perlu dibuat di mahkamah jenayah