Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Pasangan suami isteri yang juga pempengaruh direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan isu menyeleweng kutipan derma.
Turut direman bagi tempoh sama, dua individu dipercayai pengendali platform.
Perintah tahanan reman sehingga Ahad ini terhadap keempat-empat suspek dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan reman yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini, hari ini
Tempoh reman itu diperoleh bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, pasangan suami isteri itu ditahan SPRM pada jam 6.40 petang semalam manakala kedua-dua pengendali platform itu ditahan tengah malam tadi.
Ia bagi membantu siasatan, selepas membuat kutipan derma melebihi jutaan ringgit, namun difahamkan wang itu tidak disalurkan secara betul.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa