Tumpuan :
Mahkamah

Selebriti lelaki miliki dadah akan didakwa di Mahkamah Sepang esok

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Selebriti dan pelawak lelaki yang ditahan kerana memiliki dadah disyaki ganja di Cyberjaya pada Sabtu lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata suspek berusia 41 tahun itu akan dihadapkan di Mahkamah Sepang.

“Polis sudah mendapat arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam satu kenyataan ringkas, hari ini.

Terdahulu, selebriti yang ditahan kerana memiliki dadah disyaki ganja di kediamannya di Cyberjaya disambung reman empat hari bagi membantu siasatan.

Majistret Mahkamah Sepang, Muhammad Bukhori Md Ruslan membenarkan selebriti berkenaan disambung reman bermula hari ini hingga Ahad.

Sabtu lalu, Norhizam dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang selebriti lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes memiliki dadah disyaki ganja yang ditemui di kediamannya di Cyberjaya.

Suspek ditahan bersama dua paket lutsinar yang setiap satunya mengandungi leraian disyaki daun ganja dengan anggaran berat keseluruhan 60.3 gram.

Hasil ujian air kencing terhadap selebriti itu juga positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC), manakalaa siasatan mendapati suspek tiada rekod lampau dan disiasat mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan dikenakan tidak kurang 10 sebatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini