Tumpuan :
Mahkamah

Sebutan semula kes pegawai kadet UPNM cederakan junior 4 Februari depan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Mahkamah menetapkan 4 Februari depan untuk sebutan semula kes seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dituduh mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas Oktober lalu.

Hakim Egusra Ali menetapkan tarikh berkenaan ketika sebutan kes hari ini.

Tertuduh, Amirul Iskandar Norhanizan, 22, hadir bersama dua ahli keluarganya bagi penyerahan dokumen di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

8 November lalu, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, dengan menggunakan seterika wap panas di akademi berkenaan di UPNM, Kem Sungai Besi, Cheras pada 11.45 malam, 22 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh, telah dibenarkan diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Pihak pendakwaan sebelum ini memohon supaya tertuduh tidak mendekati saksi-saksi pendakwaan bagi tujuan berhubung untuk membincangkan kes berkenaan.

Saksi-saksi dalam kes ini ialah rakan seasrama tertuduh, pegawai dan jurulatih UPNM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini