KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 23 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes pemandu wanita yang berdepan tuduhan cubaan membunuh sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Oktober lalu.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim yang memaklumkan kepada mahkamah laporan penuh psikiatri tertuduh, Norizan Ismail, 49, belum diterima kerana masih menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru.
Pada 15 Oktober lalu, ibu kepada tiga anak itu yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diperintahkan mahkamah menjalani pemeriksaan mental.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cubaan membunuh sehingga menyebabkan kecederaan pada Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan,20, di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun, Dungunjam 7.35 malam pada 9 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera, boleh dipenjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Dungun.
Pada kejadian tersebut tiga penuntut UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan di hadapan universiti berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.