
SEPANG: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 7 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen bagi pelakon dan pelawak Along Cham, yang berdepan pertuduhan memiliki 1.49 gram dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Cyberjaya, pada 14 Disember tahun lalu, kira-kira jam 3.10 petang.
Dalam prosiding di hadapan Majistret Muhamad Bukhori Md Ruslan, Along mengesahkan memahami pertuduhan yang dibacakan kepadanya tetapi mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Along, atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Laporan kimia yang diperoleh menunjukkan berat bersih dadah adalah 1.49 gram, berbanding 2.07 gram sebelum ini.
Sepanjang prosiding, Along hadir ditemani ibunya, Siti Habsah Kadir, 64, dan berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada mahkamah.
“Saya akan beri kerjasama penuh… Insya-Allah,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.
Pada 27 Januari, Mahkamah Sesyen Sepang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Along atas satu pertuduhan berkaitan dadah jenis kanabis pada 14 Disember. Namun, dia kemudiannya dituduh semula atas dua pertuduhan berasingan, iaitu memiliki 49.61 gram kanabis serta mengambil dadah tetrahydrocannabinol (THC) pada tarikh dan lokasi yang sama.
Dalam kes itu, Along diwakili peguam Syed Yusuf Syed Zaid, manakala pihak pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Sutri Patang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.