comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Sebutan semula kes bunuh Nur Farah Kartini pada 10 Disember


KUALA KUBU BHARU: Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 10 Disember depan untuk sebutan semula kes anggota polis berpangkat Lans Koperal Muhammad Alif Monjani yang didakwa membunuh graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Farah Kartini Abdullah.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Eirene Nabila Amani Williams-Hunt memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan kimia dan laporan bedah siasat masih belum diperoleh.

“Saya mohon satu tarikh baharu untuk sebutan semula kes,” kata Eirene Nabila.

Peguam Nur Aida Zainuddin yang mewakili tertuduh tidak membantah namun memohon tarikh sebutan yang lebih lama.

Turut hadir, tiga peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Mohd Norazihan Adnan, Luqman Hakim Azhar dan Goh Chee Kian.

Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah.

Pada 26 Julai lalu, Muhammad Alif, 26, didakwa atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini, 25, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ladang kelapa sawit SKC Keledang, Mukim Hulu Bernam, antara jam 9 pagi 10 Julai hingga 6 petang pada 15 Julai lalu.

Nur Farah Kartini, yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayatnya ditemukan kira-kira jam 6 petang, 15 Julai lalu dipercayai dibunuh individu dikenali dan susulan itu, polis menahan anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini