comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sebutan kedua tuntutan cerai Fazura, Fattah esok

KUALA LUMPUR: Esok bakal menjadi detik penentuan penamat krisis rumah tangga pasangan selebriti sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura sama ada bercerai atau kes ditangguhkan sekali lagi.

Sebutan kedua tuntutan perceraian Fazura terhadap Fattah dijangka berlangsung jam 9 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor selepas tempoh dua minggu penangguhan kes seperti dibenarkan mahkamah berakhir.

Sebelum ini, mahkamah menangguhkan kes perceraian susulan menerima cadangan baharu daripada defendan yang mahu kes itu diselesaikan secara baik.

Ketika prosiding kes pertama pada 25 September lalu, Fattah atau nama sebenar, Abdul Fattah Mohd Amin, 33, enggan menceraikan Fazura atas alasan masih lagi menyayangi isterinya, manakala Fazura nekad mahu berpisah.

Bagi membuktikan rasa sayang terhadap Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin, 41, pemenang trofi Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-30 itu mengirimkan jambangan bunga, kek dan kad ucapan pada hari ulang tahun kelahiran isterinya pada 27 September lalu.

Meskipun sedang berdepan kemelut rumah tangga, namun Fattah tetap mendoakan semoga isteri tercinta dikurniakan kebahagiaan dalam kehidupan.

Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dimuat naik.

Tidak cukup itu, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah dibincangkan dalam laman sembang hingga menarik perhatian netizen.

Pada 13 September lalu, BH melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.

Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai, namun, ia mengejutkan ramai pihak. Sehingga kini, isu yang berlaku antara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini