comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sebuah syarikat didakwa memproses data peribadi pengguna tanpa pendaftaran

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Sebuah syarikat yang menguruskan bidang perhotelan, OSC Hotelling (M) Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan memproses data peribadi pengguna tanpa pendaftaran.

Syarikat tersebut diwakili pengurusnya, Zulaikha Mohd Arifin, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai pengguna data di bawah perintah perlindungan data peribadi, golongan pengguna data 2013, telah memproses data peribadi tanpa suatu perakuan pendaftaran yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi di bawah Seksyen 16 (1)(a) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Mei kira-kira jam 11 pagi di Kerteh Damansara Inn, Bandar Kerteh.

Syarikat itu didakwa di bawah Seksyen 16(4) Akta 709 dan jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa raya, Jabatan Perlindungan Peribadi, Ahmad Faris Ab.Jalil bersama Nor Izariah Zainal, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk lantikan peguam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini